Saturday 16 July 2011

Sistem keselamatan siber lemah

KUALA LUMPUR 16 Julai – Sistem keselamatan siber negara ketika ini disifatkan
masih berada pada tahap yang lemah sekali gus meningkatkan risiko ancaman siber
di kalangan pengguna Internet.Pensyarah di Fakulti Sains dan Maklumat, Universiti
Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Dr. Khairuddin Omar berkata, tahap kelemahan
sistem keselamatan tersebut ialah sehingga memungkinkan penceroboh menembusi
pangkalan data yang menyimpan maklumat peribadi pengguna Internet.


“Ini termasuk menceroboh pangkalan data pelanggan bank serta pemegang kad kredit.
Meskipun bank ada sistem keselamatan siber sendiri, namun risikonya tetap ada.
“Ia menunjukkan bahawa pengguna Internet kita sebenarnya tidak selamat dan masih
banyak kelemahan dalam sistem keselamatan siber negara yang perlu diperbaiki,”
katanya kepada Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai reaksi kepada peningkatan insiden keselamatan siber
yang meningkat sebanyak 147 peratus dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini
seperti yang didedahkan oleh CyberSecurity Malaysia, semalam.Sementara itu, Ahli
Ekosistem Inovasi ICT, Majlis Profesor Negara, Prof Dr. Siti Mariyam Shamsuddin
pula berkata, Malaysia perlu mempunyai bahasa komputer sendiri yang hanya difahami
oleh pengguna Internet di negara ini bagi mengelakkan ia ditembusi oleh penceroboh
asing.

Beliau yang juga pensyarah di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menambah,
ketika ini pengguna Internet di negara ini menggunakan kod-kod komputer dari luar
negara yang turut difahami dan boleh dimanipulasi untuk tujuan tidak baik oleh pakar-
pakar komputer dari seluruh dunia.“Pada masa sama, pengguna Internet di negara ini
juga perlu berhati-hati dan tidak mendedahkan terlalu banyak maklumat peribadi mereka
dalam dunia siber,” katanya.

 Oleh MOHD. KHUZAIRI ISMAIL
pengarang@utusan.com.my

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0717&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_01.htm

No comments:

Post a Comment